BERSARA sering dianggap fasa kehidupan yang lebih tenang, tiada
tekanan kerja, masa lebih fleksibel dan peluang untuk berehat selepas
bertahun-tahun mencari rezeki. Namun, realitinya tidak semudah itu.
Ramai pesara di Malaysia terkejut apabila mendapati simpanan yang
disangka mencukupi mula menyusut lebih awal daripada jangkaan.
Puncanya bukan kerana boros tetapi disebabkan kos-kos tersembunyi yang
jarang diberi perhatian ketika masih bekerja.
Menurut perkongsian Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), terdapat
beberapa perbelanjaan yang sering membebankan kewangan pesara jika
tidak dirancang lebih awal.
1. Kos perubatan dan penjagaan kesihatan
Semakin meningkat usia, semakin banyak perhatian perlu diberikan
kepada kesihatan. Ketika bersara, kos perubatan sering menjadi
perbelanjaan paling besar dan berpanjangan.
Antara perbelanjaan yang lazim termasuk rawatan susulan di klinik atau
hospital, pengambilan ubat harian untuk penyakit kronik serta
penggunaan alat bantuan kesihatan seperti tongkat, kerusi roda atau
alat bantu pendengaran.
Lebih mencabar, premium insurans atau takaful kesihatan biasanya
meningkat seiring usia. Jika perlindungan hanya difikirkan selepas
bersara, kosnya mungkin terlalu tinggi atau lebih buruk, permohonan
perlindungan ditolak atas faktor kesihatan.
2. Perbelanjaan harian yang masih tinggi
Ramai beranggapan kos sara hidup akan menurun selepas bersara. Namun,
realitinya perbelanjaan harian tetap berjalan seperti, sebaliknya ada
yang meningkat.
Keperluan asas seperti barangan dapur, bil utiliti, ubat-ubatan ringan
dan penyelenggaraan rumah masih perlu ditanggung setiap bulan. Bagi
sesetengah pesara, lebih banyak masa di rumah juga bermaksud lebih
banyak perbelanjaan kecil yang tidak disedari.
Tanpa pemantauan bajet yang rapi, perbelanjaan harian ini boleh
mengurangkan simpanan dengan cepat.
3. Tanggungan keluarga yang berterusan
Persaraan tidak semestinya bermaksud tanggungjawab kewangan berakhir.
Di Malaysia, ramai pesara masih memikul tanggungan keluarga sama ada
secara sukarela atau kerana keadaan memerlukan.
Antaranya termasuk membantu anak yang belum bekerja, menyara cucu di
bawah jagaan atau menanggung yuran pengajian dan keperluan kecemasan
ahli keluarga. Walaupun niat membantu itu mulia, ia boleh menjadi
beban jika tidak dirancang dengan teliti.
Tanpa kawalan, bantuan kewangan yang berterusan berisiko menjejaskan
simpanan persaraan sendiri.
Berbincanglah secara terbuka dengan ahli keluarga tentang kemampuan
kewangan anda. Utamakan kestabilan diri sendiri supaya bantuan yang
diberikan lebih mampan dalam jangka panjang.
4. Kecemasan yang tidak dijangka
Tiada siapa kebal daripada kejadian luar jangka walaupun selepas
bersara. Situasi seperti sakit mengejut, kerosakan rumah yang
memerlukan kos besar atau kehilangan insan tersayang boleh berlaku
tanpa amaran.
Tanpa dana kecemasan, satu kejadian sahaja sudah cukup untuk
mengganggu keseluruhan pelan persaraan yang dibina selama
bertahun-tahun.
Sediakan dana kecemasan sekurang-kurangnya bersamaan tiga hingga enam
bulan perbelanjaan hidup. Dana ini bertindak sebagai pelindung
kewangan agar simpanan persaraan tidak terus terjejas.
5. Kos tidak dijangka dan kesan inflasi
Walaupun dirancang sebaik mungkin, bajet persaraan masih terdedah
kepada kebocoran kecil yang berlaku dari semasa ke semasa. Inflasi
pula secara perlahan-lahan menghakis kuasa membeli anda.
Kos seperti pembaikan rumah, kenaikan harga barang asas dan bantuan
kewangan luar jangka kepada kenalan atau saudara sering tidak
dimasukkan dalam perancangan awal. Lama-kelamaan, perbelanjaan ini
boleh melebihi bajet bulanan yang ditetapkan.
Rancang bajet yang fleksibel dan pertimbangkan kaedah 50/30/20 untuk
mengurus perbelanjaan. 50 peratus keperluan, 30 peratus kehendak dan
20 peratus simpanan atau kecemasan. – RELEVAN
BERSARA sering dianggap fasa kehidupan yang lebih tenang, tiada tekanan kerja, masa lebih fleksibel dan peluang untuk berehat selepas bert...
5 kos tersembunyi selepas bersara di Malaysia
About author: RuangIklan
Seorang Online Internet Marketer
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comentários: